rss
twitter
    Find out what I'm doing, Follow Me :)

Monday, January 5, 2009

Fokus: Ranking dunia



Oleh Basir Zahrom
basir@bharian.com.my

Kedudukan IPT tempatan tahun lalu lebih baik walaupun tidak tersenarai 200 terbaik THE-QS

SEJAK diperkenalkan enam tahun lalu, kajian penarafan universiti dunia - Times Higher Education- Quacquarelli Symonds (THE-QS) - terus mendapat perhatian dan masyarakat Malaysia tidak ketinggalan mengikutinya untuk mengetahui sejauh mana kemampuan institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan dalam kedudukan berdasarkan kajian itu.

Keputusan tahun lalu menyaksikan tamparan hebat kepada IPT Malaysia apabila tiada satu pun tersenarai dalam kedudukan 100 atau 200 terbaik THE-QS walaupun beberapa IPT awam (IPTA) mencatatkan kedudukan lebih baik berbanding sebelumnya.

Universiti tertua negara, Universiti Malaya (UM) meningkat 16 anak tangga kepada 230, Universiti Putra Malaysia pula 364 kepada 320, Universiti Kebangsaan Malaysia dan Universiti Teknologi Malaysia mencatatkan lonjakan paling jauh (59 anak tangga) apabila masing-masing di kedudukan 250 dan 356 tahun lalu, manakala universiti berstatus Program Pemacuan Untuk Kecemerlangan (Apex), Universiti Sains Malaysia pula jatuh daripada 307 kepada 313.

Selain cerita mengenai peningkatan dan penurunan itu, sesetengah pihak berpendapat kriteria digunakan organisasi beribu pejabat di London itu tidak memihak kepada Malaysia dan perkara itu juga dikatakan antara punca utama mengapa kedudukan IPT tempatan merudum.

Berita Harian mendapatkan kepastian mengenai perkara itu daripada satu-satunya wakil Asia yang bertanggungjawab menjadi penasihat kepada THE-QS, Prof Datuk Dr Hashim Yaacob, mengenai sejauh mana faktor kriteria ditetapkan memberi kesan terhadap kedudukan kajian.

Bekas Naib Canselor UM yang tidak menafikan kebenaran perkara itu berkata, sememangnya beberapa kriteria ditetapkan THE-QS berpandukan atau mengikut kesesuaian negara barat serta ia perlu bijak dinilai sebelum dipenuhi.

Pendapat beliau turut dipersetujui Editor The Times of London (2004) yang dilaporkan berkata:

“Oleh sebab kepelbagaian kriteria dengan universiti mempunyai misi berlainan dan kekuatan berbeza, menyebabkan ia sukar untuk dibandingkan.

“Tidak ada petunjuk bahawa universiti pada kedudukan tertinggi dalam jadual adalah lebih baik daripada yang paling bawah.”

Enam Kriteria menjadi ukuran bagi menentukan markah serta kedudukan universiti dunia digunakan THE-QS, termasuk penilaian rakan sejawatan (kalangan ahli akademik), pendapat majikan (industri), nisbah pensyarah dengan pelajar, rujukan yang dibuat penyelidik lain terhadap penerbitan kakitangan universiti yang dinilai, bilangan pelajar dan kakitangan asing.

Selain kriteria itu, ia juga dinilai mengikut lima bidang seperti sastera dan sains kemanusiaan, sains sosial bioperubatan, sains serta teknologi.

Dr Hashim akui kriteria yang ditetapkan itu sesetengahnya rumit untuk dipenuhi, namun jika ditangani dengan bijak perkara itu boleh di atasi dengan mengambil kira pelbagai aspek sebelum dilaksanakan, contohnya pengambilan pelajar dan rujukan yang dibuat penyelidik lain.

“Pengambilan pelajar luar negara perlu, namun kelayakan mereka hendaklah tinggi ataupun sama dengan pelajar tempatan dan jangan sampai anak bangsa sendiri terpinggir seperti pepatah Melayu ’kera di hutan disusukan, anak sendiri mati kelaparan’ kerana terlalu mahukan pengantarabangsaan.

“Dalam bidang penerbitan, untuk beberapa tahun lalu kita banyak menulis dalam bahasa Melayu dan ia tidak dibaca orang lain, jadi bagaimana ia mahu dijadikan rujukan mereka? Faktor ini juga menjadi salah satu sebab IPT luar yang menggunakan bahasa ibunda seperti Jepun, France, China dan Korea tidak mendapat markah tinggi berbanding IPT Amerika dan United Kingdom,” katanya.

Beliau berkata, perkara itu menyebabkan kebanyakan IPT terbabit kerugian markah termasuk dari Indonesia yang paling banyak menghasilkan jurnal berkualiti dalam Bahasa Indonesia. Antara faktor lain ialah penyertaan masuk bertanding yang bertambah selepas mengetahui kewujudan kajian itu.

Mengenai cara untuk meningkatkan kedudukan IPT negara dalam ranking dunia berdasarkan ketetapan THE-QS, Dr Hashim berkata:

“Ikut saja kriteria THE-QS. Namun persoalannya adakah semua itu memenuhi hasrat negara? Jangan terlalu taksub dengan ranking dan jangan sesekali kita kata jika tidak berjaya masuk dalam senarai terbaik 200 IPT di negara kita tidak baik.

“Banyak IPT yang begitu bagus di negara maju seperti Perancis, Jerman, Sepanyol, Itali, yang guna bahasa ibunda juga tidak banyak tersenarai dalam kedudukan 200 terbaik, namun mereka tidak marah mengenai perkara itu.

“Di India yang terkenal melahirkan graduan hebat dalam bidang perubatan, namun segelintir saja IPT mereka tersenarai untuk terbaik 200, begitu juga kuasa dunia yang terkenal dengan Aeroangkasa iaitu Russia.”

Dr Hashim turut memberi beberapa pandangan mengenai kriteria yang dirasakan perlu pertimbangan pihak THE-QS seperti cara menilai kualiti pengajaran dan pembelajaran tidak seharusnya hanya dilihat berdasarkan nisbah pelajar dengan pensyarah.

Katanya, begitu juga dengan kriteria lain seperti kekerapan pelajar meminjam buku di perpustakaan, peralatan dan kemudahan belajar serta peranan universiti kepada masyarakat.

“Kita boleh guna ranking mana-manapun (THE-QS, Universiti Shanghai Jiatong, James Cook Univeristy, Australia dan banyak lagi) sebagai panduan untuk memperkasa aspek yang lemah, tetapi jangan sesekali taksub kerana kita mempunyai aspirasi negara sendiri, begitu juga dalam pendidikan dan hasrat sesebuah negara tidak sama dengan negara lain.

“Peringkat sekarang, kita perlu membangunkan rakyat terutama yang masih ramai tidak mendapat pengajian tinggi.

“Beberapa kriteria dalam kajian itu juga perlu diubah dan ranking universiti mana-mana pun mesti ada cacat celanya, jadi tidak perlu begitu marah jika tidak dapat terbaik 200 atau turun 10 tangga hingga mendapat liputan meluas?,” katanya.

Dari segi keperluan kajian ranking IPT, pelbagai pihak berpendapat ia perlu dilakukan untuk mengetahui maklum balas mengenai kedudukan, seterusnya mengesan serta memperbaiki pelbagai aspek yang masih lemah, selain mengejar matlamat bergelar universiti bertaraf dunia.

Bagaimanapun, bagi mencapai tahap itu ia tidak semestinya perlu mengikut segala rencah atau kriteria ditetapkan, lebih-lebih lagi kini pelbagai pihak memperkatakan mengenai globalisasi dan dunia tanpa sempadan.

Bagi Dr Hashim yang pernah membawa UM dalam kelompok terbaik 100 dan 200, iaitu kedudukan 89 pada 2004, 169 (2005) dan 192 (2006), beliau mendefinisikan universiti bertaraf dunia adalah IPT yang dapat memenuhi hasrat negaranya dengan mensejahterakan rakyat.

Beliau berkata, untuk mencapai taraf dunia, sesebuah universiti juga perlu melihat beberapa perkara, antaranya kualiti akademik berterusan, semakin baik setiap tahun.

“Walaupun bergantung kepada banyak perkara seperti kewangan, kita tidak semestinya perlu mengharap bantuan kerajaan saja. Di negara maju, universiti mereka mempunyai sumber kewangan daripada alumni dan perniagaan.

“Kualiti adalah aspek sangat penting. Jangan runsing mengenai nombor, asalkan semakin lama makin baik. Tidak semua universiti yang baik itu bagus dari semua aspek, contohnya Harvard Univerisity yang tidak menonjol dalam bidang kejuruteraan.

“Jadi lebih elok jika kita melihat markah yang dicapai dalam ranking dari tahun ke tahun bukannya nombor kerana jumlahnya akan menentukan sama ada menjunam atau meningkat,” katanya.

sumber:berita harian

1 comment:

PiJuK_Fisio said...

mohon cited artikel ni