Ana mengharapkan sahabat-sahabat sekalian berada dalam keadaan sihat walafiat dan dalam redha Allah senantiasa. Insya’ Allah.
Di kala ini penulisan ini dilakarkan, masing-masing sedang menempuh arus peperiksaan yang bakal menyaksikan insan-insan yang huru-hara, bersengkang mata, tercari-cari nota dan juga ada yang hanya study biasa-biasa sahaja. Ini adalah tabiat biasa dalam fasa rutin setiap semester iaitu peperiksaan akhir semester.
Firman Allah dalam ayat 2 dan 3 surah al-Ankabut
أحسب الناس أن يتركوا أن يقولوا آمنا وهم لا يفتنون ولقد فتنا الذين من قبلكم فليعلمن الله الذين صدقوا وليعلمن الكذبين .
Maksudnya : Adakah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan begitu sahaja untuk mengatakan bahawa kami telah beriman sedangkan mereka belum diuji. Dan sesungguhnya Kami telah menguji orang-orang sebelum mereka maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan mengetahui mereka yang berdusta.
Musim peperiksaan merupakan musim untuk menguji adakah kita benar-benar memahami ilmu yang telah dipelajari dalam satu semester ini ataupun sekadar untuk memenuhi kredit hour yang telah ditetapkan semata-mata. Ana titipkan selamat menempuh peperiksaan dan jadikan usaha + doa + tawakal sebagai sumber kejayaan. Semoga kita dapat beramanah dengan ilmu yang dipelajari tambahan pula kita adalah tergolong dalam golongan intelektual Islam yang mempunyai etika dan disiplin tersendiri.
Jadikanlah keredhaan guru dan pensyarah sentiasa mengiringi perjalanan hidup kita, khususnya sebagai pelajar. Tanpa keredhaan mereka ilmu yang kita pelajari kemungkinan tidak berkat dan tidak akan menjadi hujah kepada kita kelak. Na’uzubillah min Zalik. Jadi, ana ingin menyeru kepada sahabat-sahabat supaya mencari kesempatan berjumpa untuk meminta maaf atas segala kesilapan yang dilakukan samada sengaja ataupun tidak dan seterusnya menghalalkan ilmu yang dicurahkan selama ini.
Setelah itu, carilah masa untuk meminta maaf terhadap ibu bapa di atas sebarang kekhilafan yang dilakukan sepanjang hayat yang dilalui dan minta mereka mendoakan kejayaan kita. Insya’ Allah doa ibu bapa terhadap anaknya adalah “masin”.
Di kesempatan ini, ana selaku wakil pimpinan SMPI yang baru mengharapkan kerjasama antum semua dalam bentuk idea, tenaga dan kewangan untuk sama-sama memperkasakan SMPI yang kita junjungi sekarang. Sebarang cadangan dan komentar bolehlah disalurkan kepada mana-mana pimpinan SMPI.
Akhir kalam, ana dan seluruh barisan pimpinan SMPI mengucapkan selamat menempuh alam peperiksaan, Ma’at Taufiq Wan Najah. Good Luck!
Sekian, Wassalam.
Ahmad Tarmizi Bin Mohd Yusoff
Yang Di Pertua
Sarjana Muda Pendidikan Islam
Sesi 2009/2010
No comments:
Post a Comment