rss
twitter
    Find out what I'm doing, Follow Me :)

Friday, March 27, 2009

Berita Harian terima Anugerah Rakan Bestari UM


BERITA Harian menerima Anugerah Rakan Bestari daripada Universiti Malaya (UM) berikutan pembabitannya menjayakan Seminar Pendidikan Kebangsaan (Prospek) yang dimanfaatkan 5,000 pelajar sekolah menengah seluruh negara.

Anugerah itu disampaikan Pengetua Kolej Kediaman Keempat UM, Prof Madya Dr Ahmad Salihin Baba kepada wartawan pendidikan Berita harian, Norliza Abdullah sempena Malam Anugerah Bestari Kolej Keempat UM di ibu negara, baru-baru ini.

Prospek dilaksanakan menerusi akhbar sisipan Berita Harian, SKOR, diadakan di lapan lokasi terpilih iaitu Putrajaya, Batu Pahat, Kuala Terengganu, Kota Bharu, Sungai Petani, Pulau Pinang, Taiping dan Kuala Lumpur.

Program anjuran Kolej Kediaman Keempat itu diadakan antara lain bertujuan memberi maklumat terkini kepada lepasan Sijil Pelajaran Malaysia dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia mengenai peluang ke institusi pengajian tinggi awam mahupun swasta.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UM, Prof Madya Datuk Dr Azarae Idris, dalam ucapan perasmian majlis itu meminta warga kolej berkenaan menjalani hidup dalam suasana harmoni.

Selain itu, beliau juga meminta pelajar universiti itu memanfaatkan peluang ketika di kampus dengan menyertai aktiviti berfaedah yang dapat meningkatkan semangat setia kawan dan menambah kemahiran insaniah.

“Sebagai pelajar institusi pengajian tinggi yang sudah lama bertapak, penting bagi pelajarnya mengekalkan kecemerlangan dalam semua bidang bagi menjadi generasi muda yang lebih berdaya saing.

“Kami sebagai tenaga pengajar begitu mengharapkan kecemerlangan kecapi UM dikekalkan bagi membolehkan graduannya dihormati dan mempunyai daya tahan tinggi untuk berdepan dunia tanpa sempadan,” katanya.

Hadir sama bekas pengetua kolej berkenaan yang juga bekas Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UM, Prof Datuk Dr Zainal Keling.

Malam Anugerah Bestari Kolej Keempat UM diadakan bagi menghargai pengorbanan warganya dalam memastikan kehidupan di kampus menjadi lebih bermakna, bukan hanya sekadar menuntut ilmu semata-mata.

Azarae berkata, pengalaman kampus juga memberi peluang kepada warganya memperkasakan kemahiran kepemimpinan.

Beliau berkata, kemahiran yang menjadi nilai ditambah membantu mereka sebaik meninggalkan dunia kampus dan menyertai dunia pekerjaan.

Sebagai belia matang dan berpendidikan tinggi, katanya, pelajar tidak seharusnya membiarkan diri dipergunakan pihak luar untuk kepentingan peri badi.

Senario sedemikian sering wujud terutama menjelang pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar setiap tahun.

Sepanjang tempoh berkenaan tidak dinafikan ada pihak luar cuba mempengaruhi minda mereka untuk tujuan yang tidak pasti yang akhirnya menjadi mangsa pihak luar dalam usaha menyebarkan dakyah negatif," katanya.

sumber: berita harian

No comments: